Dari KELANTAN: Kisah 373
Ditulis pada 10:57 malam, Selasa, 6/8/2013, Pasir Puteh.
Tajuk: Peluang ruang masih ada wahai sahabatku...
Usai solat fardu maghrib tadi, saya kekal di sana. Bersendirian di
masjid Mukim Gaal Pasir Puteh, Kelantan. Suasana yang nyaman, dengan
hembusan hawa dingin dari penghawa dingin yang baru (dipasang).
Dan rakaat demi rakaat solat hajat dikerjakan. Tiba-tiba sebak tidak dapat ditahan-tahan. Air mata mengalir pun mengalir.
Ya, Allah....
" Didoakan semua pembaca buku MMR dan bakal-bakal pembaca, dimudahkan
segala urusan mereka. Dimudahkan segala hajat-hajat mereka. Dan
diselesaikan segala masalah mereka. Amin ya Allah."
Suasana hening. Masih bersendirian.
Tiba-tiba teringatkan kepada seorang rakan yang sudah lama tidak
didengar beritanya. Saya segera faham, barangkali dia segan kerana
hutang yang masih belum dibayar.
Ya, Allah....
Tiba-tiba Allah diberi kekuatan. Lalu nombor telefonnya didail...
" Sahabat, saya halalkan semua hutang sahabat kepada saya. Saya
halalkan dunia dan akhirat. Janganlah difikirkan lagi. Doakan saya
sahabat agar diberi rezeki lain yang lebih baik oleh Allah"
Ya, Allah...
Kelegaan apakah ini...? Sungguh sebuah rasa yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Air mata mengalir lagi...
Kali ini, kerana teringatkan sms dari seorang sahabat yang lain...
" Tiada amalan khusus malam raya seperti qiam atau solat hajat. Sunat
banyakkan bertakbir hingga solat raya. Keadaan dah kembali seperti hari
biasa. Sebaiknya istiqamah dengan puasa enam, qiam dan al-quran, solat
jemaah dan lain-lan"
Sungguh, kata-kata yang ini membuat hati sebak...
Iaitu...." Keadaan dah kembali seperti hari biasa..."
Saya segera faham maksud yang tersirat. Ganjaran pahala luar-biasa yang
ditawarkan oleh Allah akan berakhir tidak lama lagi. Ia khas pada bulan
ramadhan. Dan ramadhan 1434H/2013 akan pergi...sedikit masa lagi.
*************
Pagi tadi ( Kisah 372 ) saya menulis begini:
Info 2:
" Sheikh Daud Al-Fatoni dalam kitabnya berkata bahawa bertahun-tahun dia sentiasa menemui lailatulqadar.
Di antara formulanya ialah:
Apabila puasa jatuh pada hari Rabu dan Ahad, maka lailatulqadar akan berlaku pada malam 29 ramadhan. Sekian "
**********
Dan informasi itu disusuli lagi dengan beberapa hujah yang beliau email.
" Para ulama kemudian berusaha meneliti pengalaman mereka dalam
menemukan lailatul qadar, dan di antara ulama yang tegas mengatakan
bahwa ada kaedah atau formula untuk mengetahui itu adalah Imam Abu Hamid
Al-Ghazali (450 H- 505 H) dan Imam Abu Hasan as-Syadzili. Bahkan
dinyatakan dalam sebuah tafsir surat al-Qadr, bahawa Abu Hasan semenjak
baligh selalu mendapatkan Lailatul Qadar dan menyesuai dengan kaedah
ini.
Menurut Imam Al Ghazali, Cara Untuk mengetahui Lailatul Qadar boleh dilihat dari permulaan atau malam pertama bulan Ramadhan :
1. Jika hari pertama jatuh pada malam Ahad atau Rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam tanggal 29 Ramadhan
2. Jika malam pertama jatuh pada malam Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21 Ramadhan
3. Jika malam pertama jatuh pada malam Khamis maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 25 Ramadhan
4. Jika malam pertama jatuh pada malam Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 Ramadhan
5. Jika malam pertama jatuh pada malam Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan.
Menyetujui kaedah ini, bererti malam Lailatul Qadar jatuh pada malam
Rabu, 6 Ogos 2013 atau malam 29 Ramadan 1434 H, kerana awal Ramadhan
adalah malam Rabu, 10 Julai 2013. Allahu A'lamu bi Muradihi...
Kaedah ini tercantum dalam kitab-kitab para ulama termasuk dalam
kitab-kitab fiqah Syafi’iyyah. Rumusan ini teruji dari kebiasaan para
tokoh ulama yang telah menemui Lailatul Qadar. Formula ini diceritakan
Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin; juga terdapat dalam kitab Hasyiah
Sulaiman Al Kurdi juz hal 188; kitab Tafsir Shawi; kitab I’anah
at-Thalibin II/257; Syaikh Ibrahim al Bajuri dalam Kitabnya Hasyiah 'Ala
Ibn Qasim Al Ghazi juz I halaman 304; as Sayyid al Bakri dalam Kitabnya
I'anatuth ThalibinJuz II halaman 257-258; juga kitab Mathla`ul Badrain
halaman 65 karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni
********
Ya, Allah...
Berilah aku kekuatan untuk menghidupkan malam ini dengan sebanyak-banyak ibadat.
Ya, Allah...
Berilah kekuatan yang sama kepada setiap mata yang membaca tulisan ini.
Khasnya kepada keluarga MMR (para pembaca dan penyampai mesej buku
Mudahnya Menjemput Rezeki.
*********
Dan kepada yang sudah saya hubungi sejak petang tadi.
Marilah kita saling mendoakan. Agar setiap dari kita beroleh kehidupan yang Allah redha.
*********
Sahabatku yang baik hati.
Mohon doa kalian untuk saya yang daif ini. Agar diberi Allah kekuatan
dan istiqamah untuk menyampaikan mesej yang terkandung di dalam buku MMR
(Mudahnya Menjemput Rezeki ) dengan sungguh-sungguh. Amin.
*********
Kepada para sahabatku yang belum khatam al-Quran. Janganlah putus asa. Masa dan peluang masih ada.
Teruslah membaca baris demi baris, juz demi juz sehingga khatam 30 juz.
Insya-Allah akan datang bantuan Allah , asal saja kita bertekad untuk
melakukannya.
Sahabatku yang baik hati.
Saya doakan agar impian itu jadi nyata. Amin
Ayuh, kita tutup dulu FB.....sementara.
No comments:
Post a Comment