Sunday, 3 March 2013

Kisah 29 : Pesan Dari Langit- Tentang "Alhamdulillah

Dari TERENGGANU: Kisah 29
Ditulis pada 6:43, 3/3/2013, Batu Rakit View Chalet

Tajuk: 'Pesan Dari Langit- Tentang "Alhamdulillah"

Saya pernah berada di satu fasa kehidupan yang asyik memerhati kejadian dan peristiwa yang berlaku; khususnya kepada diri sendiri. Pada saat itu, hati selalu berbisik;

" Mengapa jadi begini...?"

" Bagaimana jika jadi begini...?"

Saya juga pernah asyik dengan buku -buku dan idea dari motivator-motivator barat. Yang sangat menekankan perihal kerja keras dan kekuatan minda. Lalu saya pun pernah beramal dengan dengan 'zikir-zikir' seperti berikut...

" If I want to be its up to me..."

" I am unstopable..."

Kemudian disusuli pula dengan kaedah pernafasan, meditasi dan imaginasi.

Nah, bila difikir-fikir aktiviti itu pun tidak mudah. Ia masih perlukan masa khusus. Ia juga perlu dilakukan dengan kerap, dan istiqamah. Menariknya ramai yang sanggup melakukannya.

Apa maksudnya ini?

Strategi menjemput rezeki dengan meningkatkan ibadat juga tidak mudah. Ia perlukan masa khusus. Ia perlu dilakukan dengan istiqamah. Menariknya, ramai yang masih tidak sanggup melakukannya.

Mengapa?

Barangkali kerana ia tidak glamour. Atau mungkin tidak popular. Maklumlah, modalnya sedikit cuma. Sekadar sehelai sejadah dan air sembahyang. Atau paling tidak pun berulang-alik ke masjid 5 kali sehari.

Strategi popular pula memerlukan belanja yang besar. Ada yang yurannya melebihi RM10,000. Dibuat di hotel yang mahal-mahal. Duduk di kerusi empuk dan bilik berhawa dingin yang mewah dan selesa.

Namun, apabila saya perhatikan kedua-dua strategi mencipta kejayaan itu tadi; jelas ia tetap memerlukan pengorbanan.

Menariknya, kaedah barat, moden dan mahal tadi sangat sesuai dengan nafsu. Manakala kaedah 'tradisional' pula tidak. Maklumlah duduk bersendirian di atas sejadah, di kala orang sedang nyenyak tidur siapalah yang suka.

Namun itulah amalan Nabi kita Muhammad SAW. Baginda solat tahajud 8 rakaat, solat witir 3 rakaat. Baginda juga tidak pernah meninggalkan solat dua rakaat sebelum solat Subuh.

Saya pernah dizin Allah bertemu dengan seorang ustaz yang beramal dengan idea meningkatkan ibadat untuk meraih kejayaan. Dan kejayaan beliau sudahpun terbukti.

Saya pernah tanyakan kepada beliau tentang hal ini. Yakni apakah mindset beliau dengan melakukan solat tahajud 8 rakaat. Walhal 2 rakaat pun sudah memadai.

Saudara yang mengikuti tulisan ini tentu maklum siapakah yang saya maksudkan. Semalam saya ada berhubung dengan beliau. Alhamdulillah beliau hantar sms di bawah agar kita semua dapat pencerahannya.

Di bawah ini adalah mindset beliau mengapa melakukan 8 rakaat solat tahajud.

Kata ustaz,

" 2 rakaat yang pertama, hadir dalam solat sebagai tanda syukur kepada Allah atas segala kesempatan dan nikmat sebelum kita dijanjikan pula nikmat di ukhrawi.

" 2 rakaat yang ke-2, hadir sebagai hamba dengan penuh tazallulla, khauf' dan ro'ja atas segala dosa yang sedar dan tidak sedar; juga segala perasaan terlalu selesa akan nikmat dengan mohon ampunan Allah serta nur Muhammad.

" 2 rakaat yang ke-3 hadir dengan penuh keinginan,kehambaan, kelazatan dalam solat tersebut. Dalam erti kata lain bercinta dengan Allah."

" 2 rakaat yang akhir, dengan penuh ro'ja, yakin dan mengaku kita hamba-Nya maka pintalah apa jua semahunya daripada Allah SWT."

Dan kemudian singgah lagi satu sms dari ustaz:

" Namun bagi mereka yang hidupnya berjaya perolehi Al Huda Allah maka pada 2 rakaat akhir ini kita pasti malu untuk "meminta" daripada-Nya. Tingkatan ini di mana seorang hamba boleh dikatakan sebagai "membeli" Syurga dengan menjual dunia"

Begitulah,

Sebagaimana saudara , bukan semua kata-kata beliau itu saya faham. Pun begitu saya faham apa yang perlu dilakukan.

Beliau merupakan salah seorang dealer buku di atas. Subhanallah, dalam masa kurang 48 jam, beliau membeli 210 naskah.

Yang asalnya cuma bermula dengan 10 naskah... Insya-Allah saya berdoa agar Allah buka hati beliau untuk mengisi ruang kosong MD(Master Dealar ) yang masih ada.

Sungguh, saya sangat beruntung bila Allah hadirkan hamba-Nya yang baik-baik dan alim untuk membantu impian tersebut. Yakni menyampaikan mesej buku di atas kepada sejuta jiwa. Targetnya pada 1/5/2015. Insya-Allah. Manakala sasaran pada tahun ini, 2013 adalah 300,000 jiwa.

Sungguh ia merupakan rezeki yang besar. Alhamdulillah.

****************
Sayyid Qutb,menukilkan di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran begini:

"Alhamdulillah adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mukmin sebaik teringat kepada Allah."

Sambung beliau lagi,

" ..kerana kewujudan dirinya dari mula lagi adalah dari limpah nikmat kurniaan ilahi..."

" Setiap kelipan mata dan detik waktu, dan disetiap langkah Allah melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya ke atas seluruh makhluk-Nya terutama manusia..."

"...kerana itu mengucapkan Alhamdulillah di awal dan diakhir merupakan salah satu dari dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung."

Firman Allah:

"Dan Dialah Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, terpulanglah kepada-Nya seluruh kepujian di awal dan di akhir." (al-Qasas: 70)

**************

Nah, sambungan dari amalan membaca "Bismillahirrahmanirrahim" semalam, kita boleh terus beramal dengan membaca "Alhamdulillah" pula. Ya, di setiap memula dan di akhir aktiviti.

Baik, sekarang saya mahu kongsikan satu kata-kata pujian kepada Allah yang membuat para malaikat bingung bagaimana mahu mencatatkan pahalanya.

" Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulanglah kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran-Mu"

Kata-kata di atas apabila kita ucapkan akan membuat kedua-dua malaikat pencatat amalan terpaksa bertanya kepada Allah bagaimana sepatutnya ia di catat.

Maka jawab Allah,
" Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hamba-Ku sehingga ia menemui Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya." ( Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar r.a )

Sungguh dasyat kata-kata di atas. Pahalanya luar biasa .

Sayyid Qutb menyatakan begini:

"...kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hamba-Nya yang mukmin adalah sampai ke tahap setinggi-tingginya apabila hamba itu berkata, " Alhamdulillah".

Nah, mulai hari ini, masukkan pujian ini ke dalam doa kita. Apabila saudara mula beramal, Si Pengarang tafsir akan dapat manfaat, saya yang menyampaikan pula juga dapat bahagian. Insya-Allah.

Justeru, mari kita saling menyampaikan pesan-pesan dari langit ini; supaya kita semua mendapat manfaatnya.

" Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulanglah kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran-Mu"

Lafaz bahasa Arabnya boleh saudara ketahui dengan menelefon saya. Insya-Allah:

012-9876 717

No comments:

Post a Comment