Saturday, 23 March 2013

Kisah 44 : Solat Hajat

Dari KELANTAN: Kisah 44
Ditulis pada 8:13am, 23/3/2013, Kg Gaal.

Tajuk: Solat Hajat

Semalam.

Dari Pasir Gudang, Johor kami memecut pulang ke Kuala Lumpur. Berhenti solat Maghrib di hentian Air Keroh, Melaka.

Pada arah jalan yang bertentangan kereta sudah mula bertali-arus, dan lampu-lampu kereta kelihatan seperti mutiara yang bertaburan. Indah.

Saya segera faham, yang cuti sekolah sudah bermula. Situasi ini adalah lazim.

Jalan menghala ke Kuala Lumpur tidak kurang sesaknya. Jam sudah menunjuk ke angka 9:05 malam bila, kesesakan jalan raya membuat saya mula berbisik.

" Ya Allah, boleh sampai ke tidak ni..?"

Walhal bas ekspress dijangka bertolak pada jam 9:30 malam.

Sampai di selekoh berhampiran Hentian Putra, si pemandu tersalah jalan pula. Kelihatan juga bas ekspress Darul Naim sudah terpancul di jalan keluar stesen bas itu. Jam sudah menunjuk ke angka 9:25 malam. Lima minit berbaki.

Kawan yang membelikan tiket sudah berkali-kali menelefon. Barangkali bimbangkan kami akan ketinggalan bas. Kelihatan bas akan segera bertolak.

" Tidak mengapa tuan, bukankah tadi kita sudah solat hajat...? Insya-Allah, apa pun yang akan berlaku adalah baik." kata saya yang sebenarnya mententeramkan hati sendiri.

Kemudian dengan izin Allah, kami tiba tempat yang dituju. Tiket diserahkan dan saya menaiki bas. Tempat duduk paling belakang.

Tidak lama selepas itu, bas pun mula bertolak.

Dalam hati saya berbisik,

" Barangkali Allah sengaja membuat kami salah jalan, dan dengannya saya sampai sejurus sebelum bas bertolak. Dengannya tidaklah letih saya berdiri menunggu bas. Dan itulah lazimnya berlaku.... Alhamdulillah."

Tiba-tiba penumpang di sebelah saya pula bersuara.

" Abang tidak bawa baju lain ke..?"

" Kenapa.." soal saya.

" Air-cond bas ini sejuk bang. Jika abang tidak bawa baju lain, saya ada selimut ekstra ni..." katanya sambil mengeluarkan selimut yang dimaksudkan.

" Ya, Allah...begitu sekali bantuan-Mu Ya, Allah.. Terima kasih Ya Allah." bisik hati saya lagi.

No comments:

Post a Comment