Sunday, 3 March 2013

KIsah 28 : Pesan Dari Langit - Tentang Bismillahirrahmanirahim

Dari TERENGGANU: Kisah 28
Ditulis pada 12.01, 3/3/2013, Batu Rakit View Chalet

Tajuk: 'Pesan Dari Langit - Tentang Bismillahirrahmanirahim'

Di antara impian saya adalah membaca tafsir Fi Zilalil Quran dan mengkhatamkannya sekali setiap bulan. Sungguh, tafsir 17 jilid itu benar-benar memikat hati.

Pertama kerana ia ditulis oleh seorang yang hidup membaca selama 40 tahun. Justeru, saya fikir dengan menghadam tafsir ini berupaya memendekkan pengalaman membaca dan menyedut segala khazanahnya.

Kemudian, mutiara-mutiara kehidupan yang saya kutip dari tafsir itu nanti mahu saya kongsikan di sini. Kerana memang tiada lagi yang lebih asli dan lebih berkesan selain formula yang diberikan oleh al-Quran. Yakni bagaimana untuk sukses dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Dan pada masa yang sama berjaya mendapat redha Allah.

Namun, impian itu rupa-rupanya tidak semudah yang dirancang. Ada saja kekangan yang menghalang saya dari bermula. Jika dulu barangkali kerana belum mampu memiliki tafsir itu.

Maklumlah harganya adalah RM5000. Namun kini sudah tidak boleh beralasan lagi bila harganya sudah turun menjadi RM1500. Dan ia sudahpun diizin Allah memilikinya.

Semalam, saya membaca sebuah buku karangan Dato' Ismail Kamus berkenaan dunia jin. Subhanallah, sungguh ia merupakan sebuah buku yang bagus. Dengannya saya mendapat motivasi.

Setiap dari kita memang diberi Allah seekor Jin bernama Qarin . Kerjanya tidak lain selain mendorong kita menjadi jahat, tidak produktif.

Maka sejak itu saya berazam untuk tidak kalah dengan Si Qarin ini. Langkah pertama ada memulakan penulisan travelog Fi Zilalil Quran yang saya namakan 'Pesan Dari Langit'.

***************

" Bismillahirahmanirahim- Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Saya ada beberapa amalan tentang ayat ini. Ada yang saya pelajari dari guru dan ada yang melalui pembacaan. Pada satu peringkat saya pernah ghairah mencari amalan. Yakni amalan itu dan ini.

Kadang-kadang sesuatu amalan itu memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan. Akhirnya saya akur tidak mampu untuk istiqamah dengan amalan begitu.

Ternyata, amalan membaca Bismillahirrahmanirahim dapat saya amalkan dengan berterusan kerana ianya ringkas dan mudah. Alhamdulillah.

1) Sewaktu mahu tidur membaca "Bismillahirrahmanirrahim" sebanyak 21 kali dapat perlindungan Allah dari:

- Perompak/Pencuri
-Sihir
-Rumah terbakar
-Mati ketika tidur. Insya-Allah

2) Semasa berhadapan dengan orang jahat, orang garang, orang berpengaruh atau orang yang berkuasa bacalah "Bismillahirrahmanirrahim" sebanyak 50 kali.

- Ia dapat melembutkan hati mereka. Insya-Allah

3) Membaca " Bismillahirrahmanirrahim" setiap kali memulakan kerja.
- Memudahkan segala urusan dan dapat pahala dengan mudah-mudah sahaja. Insya-Allah

*************
Saya membuka halaman tafsir Fi Zalil Quran dan mata laju mencari tafsir ayat "Bismillahirrahamanirrahim" ini...

Berikut adalah beberapa perkara yang saya kira menarik untuk dikongsikan:

- Bismillahirrahmanirrahim merupakan satu ayat di dalam surah al-Fatihah. Jadi jumlah ayat al-Fatihah adalah tujuh. Inilah pendapat yang terkuat (arjah).

Hal ini saya kongsikan di sini kerana dikatakan memang ada perbezaan pendapat tentang kedudukan Bismillahirrahmanirrahim ini.

Ada pendapat yang mengatakan ia merupakan satu ayat dalam setiap surah. Ada pula pendapat yang menyatakan ia merupakan satu ayat al-Quran yang dibaca ketika membaca setiap surah.

Dan menurut tafsir ini, - Bismillahirrahmanirrahim merupakan satu ayat di dalam surah al-Fatihah. Jadi jumlah ayat al-Fatihah adalah tujuh. Inilah pendapat yang terkuat (arjah).

Dan ini dalilnya:
" Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayat-ayat yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Quran yang agung." (Surah al-Hijr: 87 )

****************

Baik, sekarang mari kita kupas tentang amalan no -3 di atas. Iaitu memulakan setiap aktiviti dengan bacaan "Bismillahirrahmanirrahim"

Sayyid Qutb menyatakan begini;
" Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung, yang menganggap Allah bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin.

Seterusnya beliau menyatakan begini pula;

"...kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat dan segala tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan nama-Nya"

*****************

Wah, saudara yang membaca tulisan ini sudah tidak perlu membuka tafsir lagi. Terus sahaja beramal ya...

Yakni mulai hari ini, kita mulakan setiap pergerakan dengan bacaan " Bismillahirrahmanirrahim"

Oh ya, dengan mengamalkan ini Jin yang bernama Qarin itu, tidak berpeluang menyertai kita dalam makan dan minum. Maka kuruslah dia. Maka lemahlah dia.

Natijahnya, ringan dan senang saja untuk melakukan ibadah.

Jika tidak gemuklah dia. Dan kuatlah dia...maka diganyangnya kita sehingga lemah untuk beribadah dan membuat kebajikan.

Pada buku di atas juga ada dikongsikan 10 cara yang bila kita lakukan boleh memudahkan kita beribadah di samping mudah datangnya rezeki.

No comments:

Post a Comment