Wednesday, 8 May 2013

Kisah 59 : Tanya, tanya, tanya

Dari KELANTAN: Kisah 59
Ditulis pada, 10:38pm, 8/5/2013, Kg Gaal, Pasir Puteh, Kelantan.

Tajuk:' Tanya, tanya, tanya'

"Baiklah Pak Long, saya mesti balik sekarang." kata saya sambil melihat jam di hp. Waktu sudah menghampiri pukul 10 malam.

" Insya-Allah, apa yang kita bincangkan ini akan saya tuliskan dan kongsikan di facebook."

Kemudian saya segera bergegas ke kereta, dan memandu pulang. Kelopak mata sudah berat sangat. Sejak Subuh tadi keluar rumah, memandu, memandu dan memandu.

Memandu dari Pasir Puteh,Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan. Kemudian kembali ke Pasir Puteh, Kelantan dan di sambung pula ke Jerteh, Terengganu.

Kepenatan semakin terasa, bila memandu bukanlah kegemaranku.

Namun, bila petang tadi menerima sms dari Pok Long terus saya "iyakan" saja. Demi ilmu.

Pak Long seorang yang berilmu, kerana rajin menuntut ilmu. Pak Long sudah bermusafir ke sana ke mari berguru dengan ramai guru. Pak Long juga diberi kelebihan oleh Allah, pandai merawat orang sakit. Termasuklah orang sakit yang sebenarnya tidak sakit?

Saya memandu hampir 40 KM semata-mata untuk menadah ilmu sekitar 20 minit dengan Pak Long. Alhamdulillah. Ia berbaloi.

Tanya saya, " Pak Long, saya kerap didatangi sms yang mengadu itu dan ini. Masalah rumah-tangga. Masalah duit. Masalah kesihatan. Masalah kucing. Masalah sakit gigi. Masalah bisnes. Masalah kerja. Masalah, masalah, masalah...."

" Pak Long, bukankah Allah kata dalam al-Quran , orang beriman tidak akan rasa sedih?"

"Betul" jawab Pak Long.

" Orang yang beriman, hidupnya gembira. Dan hajatnya mudah-mudah sahaja Allah kabulkan. Betul Pak Long?" tanya saya lagi.

" Betul"

" Tapi kenapa, ada orang yang masalahnya susah sangat nak selesai?. Berbulan-bulan saya perhatikan, hidupnya begitu juga. Masalahnya yang itu-itu juga..."

"Adalah dosa yang dia buat..." jawab Pak Long bersahaja.

" Saya pun hairan Pak Long. Nampak muka macam baik. Dosa apa agaknya yang dia buat? Sampaikan hidupnya asyik susah tak habis-habis..." tanya saya lagi.

" Suruhlah dia tanya, tangan"
" Tanya kaki"
" Tanya hidung"
" Tanya semua anggota.....kecuali mulut" jawab Pak Long.

" Minta dia solat taubat, solat istikharah, dan solat hajat. Kemudian tanya Allah, apa agaknya dosa yang dia buat. Tanya hati..." sambung Pak Long.

" Di akhirat esok, kita pun akan ditanya begitu. Mulut boleh berbohong. Anggota badan tidak boleh berbohong" sambung Pak Long lagi.

Saya terdiam memikirkan idea itu.

" Tanya semua anggota? Kecuali mulut?"

***********

Di doakan saudara pembaca (jika ada) yang sedang bergelut dengan kesusahan hidup; diberik kekuatan untuk beramal dengan idea di atas. Insya-Allah mujarab.

Maklumlah, kadang-kadang kita berbuat dosa kerana kejahilan. Dan ada juga yang berbuat dosa kerana lemahnya iman. Apapun ia, bersegera kembali kepada Allah, adalah jawapannya.

Kerana hidup orang tidak berbuat dosa pastinya ceria bahagia. Tidak ada sebab Allah suka-suka mahu hidup kita susah.

Allah kan baik. Allah sangat baik!

No comments:

Post a Comment