Sunday, 26 May 2013

Kisah 88 : Kemahiran Menjual

Dari KELANTAN: Kisah 88
Ditulis pada 8:39 pagi, 26/5/2013, Pasir Puteh

Tajuk: Kemahiran Menjual

Saya pernah mendengar kata-kata ini.

" Kita boleh membaca banyak buku bagaimana belajar berenang. Namun, kita sebenarnya hanya benar-benar belajar berenang bila terjun ke dalam air"

Begitulah halnya dengan kemahiran menjual,

Terdapat banyak buku yang mengajar bagaimana menjual. Pun begitu, kita hanya boleh mendapat kemahiran menjual bilamana mula menjual.

Saya diizin Allah mendapat kemahiran ini kerana tekanan hidup. Pada satu fasa kehidupan, saya sudah tidak mampu memiliki kereta. Lalu saya membeli motorsikal terpakai. Motorsikal itu pun dicuri orang. Lalu saya terpaksa membeli sebuah basikal.

Dengan basikal itulah saya ke sana ke mari menjual itu dan ini. Pada satu hari, basikal itu pun dicuri orang. Maka, saya berpada dengan hanya membetis (kata oranga Singapura). Maksudnya berjalan kaki.

Saya menjual dari meja ke meja. Saya menjual dari pintu ke pintu. Saya menjual secara online. Saya menjual menerusi telefon. Saya menjual dalam seminar. Saya pernah menjual barang-barang murah. Saya juga pernah menjual barang yang mahal, malah sangat mahal.

Dengan kemahiran itulah (dengan izin Allah ), saya berhasil menjual buku di atas dengan banyak.

Saya pernah berazam menjual senaskah buku di atas kepada satu orang, Allah izinkan.

Kemudian saya berazam untuk menjual 10 naskah buku di atas kepada satu orang. Allah izinkan.

Seterusnya saya berazam untuk menjual 100 naskah buku di atas kepada satu orang, juga Allah izinkan.

Lalu saya memasang impian untuk menjual 1000 naskah kepada satu orang, Allah pun izinkan.

Dan menjual 1000 naskah kepada satu orang pun sudah berkali-kali saya lakukan. Lebih dari 15 kali.

Hari ini saya memasang impian untuk menjual 10,000 naskah kepada satu orang pula.

Bolehkah? Bagaimana caranya?

Akhirnya, tentang kemahiran menjual ini, saya suka untuk mengatakan, ia tidaklah susah. Ia menjadi susah kerana kita tidak mahir. Dan kemahiran itu hanya boleh diperoleh dengan berbuat. Buat dan terus buat. Bahasa mudahnya berlatih...

Saya terpanggil untuk menulis hal ini kerana menerima banyak email yang mahukan kerja yang bergaji RM500 itu.

Dalam tempoh 24 jam saya berkelana ke bumi Kuala Lumpur tempohari, saya tidak membuka email. Dan bila dibuka, tidak kurang dari 40 email bertanyakan tentang kerja kosong yang saya tawarkan (kisah 74 & 75 )

Ada yang sanggup merayu dan memberitahu mereka sangat terdesak dan perlukan wang. Saya faham, kerana saya pun pernah berada dalam keadaan begitu.

Baiklah, kepada saudara yang berhajat belajar kemahiran menjual, sambil mendapat gaji sebanyak RM500 itu, bolehlah hubungi saya. Maksud saya telefon terus . Jangan sms atau email. Sungguh, dengan masa yang berbaki ini, saya tidak mampu berbalas email dan sms.

Hubungi saya di talian: 012-9876 717
Saya akan beritahu syaratnya. Tidaklah sukar, tetapi untuk kebaikan kedua belah pihak. Iaitu, pihak saya sebagai majikan dan pihak saudara sebagai pekerja. Jika setuju saudara boleh bermula hari ini. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment