Sunday, 26 May 2013

Kisah 87 : Pekerja dan pekerjaan yang luar biasa.

Dari KELANTAN: Kisah 87
Ditulis pada: 7:30 pagi, 26/5/2013, Pasir Puteh.

Tajuk: Pekerja dan pekerjaan yang luar biasa.

Sebelum saya membuat keputusan untuk menjadi seorang penulis, saya juga seorang pekerja.

Jawatan terakhir adalah sebagai Branch Manager sebuah syarikat.
Kerja saya adalah menguruskan 36 buah keluarga Rusia. Kebanyakan mereka datang bersama keluarga ke Malaysia . Mereka adalah Warranty Team Jet Sukhoi yang dibeli oleh TUDM. Mereka berada di Malaysia hampir 3 tahun.

Mereka ditempatkan di Pangkalan Udara Gong Kedak. Iaitu terdiri dari 2 buah apartment yang berpagar. Salah satu unitnya merupakan pejabat juga merangkap tempat tinggal saya.

Pada mulanya saya mempunyai team yang lengkap yang terdiri dari pemandu, tukang bersih, juruteknik dan kerani pejabat. Pun begitu, atas sebab tertentu, semua jawatan itu menjadi satu. Dan saya adalah satu-satunya pekerja di situ.

Maka bermulalah era menjadi pekerja yang luar biasa. Seawal jam 7.00 pagi saya sudah membuka pintu pejabat untuk menerima sebarang aduan dari 36 buah keluarga Rusia tadi. Seterusnya mula berfikir, merancang dan mengurus bagaimana untuk menyelesaikannya dalam masa paling pantas (tanpa sebarang alasan.)

Selepas itu, saya terus menukar uniform pejabat kepada pakaian cleaner dan mula menyapu sampah dan membersihkan longkang. Ya, termasuk sesawang yang terdapat di kedua-dua buah apartment itu.

Selesai mandi (kali ke-2), bersarapan dan solat dhuha, saya bergegas ke pekan untuk menyelesaikan urusan berkaitan. Urusan di bank, di pejabat pos, di telekom dan kedai hardware dan lain-lain.

Kemudian bila pulang ke pejabat (merangkap rumah) saya perlu mengadap komputer, menguruskan akaun, mengemaskini bil -bil, menjawab surat/ email serta membuat panggilan telefon kepada pelbagai pihak.

Bila bermesyuarat dengan pihak Kem pula, saya perlu memakai pakaian dan bertingkah sebagai Branch Manager.

Dan memang kerap pula saya dilihat memandu van pregio membawa keluarga Rusia ini ke sana sini.

Tidak cukup dengan itu, saya kerap juga dilihat di ladang Kenaf. Bertopi ala penanam sayur, berbaju kemeja lengan panjang dan berkasut boot. Bersama beberapa warga asing.

Pada masa lain, saya akan kelihatan di tapak pembinaan. Ya, selain memiliki ladang kenaf, majikan saya juga memiliki beberapa projek pembinaan.

Oh, ya kerap juga saya perlu mengeluarkan duit sendiri (bukan sedikit) untuk membayar itu dan ini bilamana peruntukan dari HQ lambat sampai.

Dan mereka tidak pernah tahu akan hal ini, kerana semua urusan berjalan licin dan lancar.

Akhirnya setelah hampir tiga tahun berlalu, kawan-kawan saya kekal bingung dan bertanya.

" Sebenarnya awak kerja sebagai apa di sini...?"

Dan saya sekadar senyum dan berkata di dalam hati.

" Inilah persediaan yang Allah beri kepada saya untuk mengurus perniagaan sendiri..."

Pengajaran: Takdir Allah semuanya baik.

No comments:

Post a Comment