Dari KELANTAN: Kisah 11/Februari 2013
Ditulis pada 7:26am, 12/2/2013, Kg. Gaal, Pasir Puteh.
Tajuk: ' Hati Seorang Ayah tiri'
Petang semalam saya dan keluarga pergi ke Kuala Krai. Ia lebih kepada
ziarah dan silaturrahim. Di samping menghantar stok buku di atas, kami
berkenalan dengan dealer baru di sini.
Kak Na seorang ejen takaful. Seorang yang ceria dan bersemangat berbisnes. Petang itu, Kak Na hadir bersama suami dan dua orang anaknya.
Setelah 100 naskah buku saya serahkan, kami minta diri untuk pulang.
Dalam perjalanan pulang kami singgah solat Magrib dan Isyak di masjid
yang berbeza.
Sampai ke rumah, jam menunjuk ke angka 11:11
malam. Pada ketika itulah hp saya bergetar; satu nombor yang tidak
dikenali singgah minta perhatian.
"Ustaz, saya isteri kepada Adnan. Bolehkah ustaz tolong saya...?" suara halus seorang wanita menerpa ke telinga.
" Dari mana dapat no tel saya?" tanya saya.
" Dari buku ustaz"
" Dari mana dapat buku saya?"
" Dari suami saya, dia ada buku ustaz, tajuknya 'Mudahnya Menjemput Rezeki' " lancar suaranya.
Setelah beberapa minit bertanya, saya berpaling ke arah isteri yang memang dari awal mendengar perbualan kami.
" Mereka sedang susah. Kita mesti bantu. Mana mungkin mereka mahu naik
motor berempat ke Kota Bharu malam-malam begini...hujan pula tu..." saya
cuba memancing perhatian isteri pula.
Setelah beberapa minit dan kami mendapat kata sepakat,saya segera mencapai kunci kereta dan bergegas ke pekan Jerteh.
Masya-Allah. Tidak tahan hati saya melihat keluarga ini.
Adnan dan isteri beliau, serta dua orang anaknya, sedang berdiri di
tepi dinding stesen minyak Petronas. Motor tua yang sarat dengan
beberapa bungkusan di atasnya di parkir berhampiran.
Hujan yang agak reda sebentar tadi kembali lebat.
Tiga hari lepas ada saya bertemu Adnan di masjid Ulul Albab (Masjid
Kayu ) bersama dua orang anaknya. Di sanalah kami berkenalan dan faham
ujian yang sedang beliau tanggung.
Isterinya mengidap barah
usus dan perlu berulang-alik ke hospital Kubang Kerian. Dua orang anak
mereka , (tepatnya anak tiri Adnan) bersekolah di Padang Luas.
Dek kerana mengurus isteri dan anak-anaknya, Si Suami terpaksa kehilangan kerja. Begitu juga rumah tempat mereka berteduh.
" Jadi, malam ini tuan sekeluarga mahu tidur di mana..? " tanya saya.
Mereka diam.
Saya faham.
" Mari masuk kereta, kita selesakan dulu masalah malam ini. Kemudian kita bincang."
Keluarga itu dengan izin Allah saya tempatkan di sebuah hotel di Pekan Jerteh... (bersambung )
No comments:
Post a Comment