Dari PERLIS: Kisah 22
Ditulis pada: 5:45am, 25/2/2013, T Hotel, Kuala Perlis.
Tajuk: 'Pesan Dari Langit- Kata Penterjemah'
"Masjid Terapung?" tanya saya.
Akhirnya kami benar-benar sampai ke masjid yang dimaksudkah.
Subhanallah. Indahnya masjid ini. Masjid al-Hussain terletak di bibir
pantai. Saujana mata memandang kelihatan laut yang terbentang luas.
Binaannya juga unik. Lebih menarik lagi bila dikhabarkan ia disumbangkan oleh seseorang. Ya, masjid ini diwakafkan oleh seseorang.
Kami check in ke hotel, bersiap dan kembali ke masjid. Jaraknya
kira-kira 100 meter sahaja. Azan maghrib mula berkumandang. Pun begitu,
sebagaimana lazimnya, masih ada di kalangan pengunjung pantai itu yang
seperti tidak memahami apakah maksud azan diazankan. Aktiviti tetap
rancak....
Usai solat, saya dihampiri oleh seseorang.
"Ustaz, penceramah yang sepatutnya memberi kuliah Maghrib pada malam ini tidak hadir. Ustaz diminta mengisinya...."
Sungguh ia merupakan rezeki yang saya syukuri. Niat asal mahu
menziarahi seorang rakan. Namun, begitulah takdir Allah, diberi ruang
untuk menyampai pula.
Dan saya segera mampir ke depan dan
menyampaikan tazkirah 'Mudahnya Menjemput Rezeki'. Tepat 30 minit saya
berhenti. Masih ada 10 minit berbaki sebelum azan Isyak dikumandangkan.
Saya hampiri imam masjid dan kami mula berkenalan. Manakala pengurus
pemasaran MMR Sales & Marketing , En. Wizan kelihatan sibuk
menguruskan penjualan buku.
Selesai solat Isyak, kami dijemput pula ke restoran berhampiran.
"Ustaz makan sotong goreng?" tanya pemilik restoran dan juga salah seorang jemaah yang hadir mendengar tazkirah maghrib tadi.
Akhirnya kami mendapat rezeki sotong goreng yang enak.
Begitulah rezeki Allah. Sungguh, menjemput rezeki itu lebih mudah berbanding mencari rezeki.
Selepas ini, kami akan bertolak ke negeri Pulau Pinang pula. Apakah agaknya takdir Allah di sana?
Tafsir Fi Zilalil Quran saya renung.
Penterjemahnya sudah meninggal dunia. Beliau mengambil masa 11 tahun
untuk menterjemahkan tafsir ini. Sungguh ia usaha yang berbaloi.
Yusoff Zaky Hj Yakob sudah meninggalkan dunia ini.
Namun akaun pahalanya masih terbuka selagi tafsir ini memberi manfaat kepada kita.
Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada arwah Dato' Yusoff Zaky. Semoga
beliau ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang mendapat mendapat layanan
istimewa dari Allah di alam barzah itu.
Al-Fatihah
No comments:
Post a Comment