Monday, 18 February 2013

Kisah 16 : Tiga Fasa Pendidikan Anak

Dari KUALA LUMPUR: Kisah 16, 18/2/2013
Ditulis pada: 10:30pm, Kg Padang Balang, Gombak.

(Sambungan dari kisah 15)

Manakala untuk fasa ke-2 ( Umur 7 tahun - 14 tahun) istilah pendidikan yang digunakan oleh Ibu Wiri adalah ' tawanan perang'.

Saya sempat tertanya-tanya bagaimanakah agaknya mendidik anak sebagaimana yang diistilahkan dengan 'tawanan perang ' itu.

Kata Ibu Wiri, " Pada fasa ini, kita mula bertegas dengan anak-anak. Bertegas ya, bukan marah-marah...."

Pada usia begini, dalam Islam pun sudah disuruh belajar sembahyang.

Pada usia begini anak-anak kita perlu diberitahu dengan tegas mana yang boleh dan mana yang tidak. Anak-anak juga perlu diperkenalkan dengan disiplin.

Sambung Ibu Wiri lagi, " Pada fasa ke-3 pula anak-anak kita sudah anggap sebagai teman. Kita perlu berunding dengan mereka. Memberi pendapat dan meminta pendapatnya"

" Contohnya dalam keluarga kami, anak-anak perlu membuat MoU bilamana kami mampu memiliki televisyen. Yakni bila mahu menonton, dan rancangan apa yang mahu ditonton. Dan saya sendiri sebagai ibu juga perlu mematuhi MoU tersebut" sambung Ibu Wiri lagi.

Maka, dari kupasan Ibu Wiri itu, saya dapat simpulkan begini:

Umur 1 hari hingga 7 tahun: Perlakukan anak seperti 'raja' bermaksud tumpahkan kasih sayang sebanyak-banyaknya. Rangsang agar anak berani berkreatif dan jangan diancam dan dimarah-marah. Apatah lagi saat mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

Umur 7 hingga 14 tahun: Perlakukan anak seperti seorang 'tawanan perang' memberi maksud memperkenalkan peraturan. Anak-anak perlu dilatih agar berdisiplin. Ibu-bapa pula perlu bertegas melaksanakan peraturan dan disiplin tersebut.

Umur 14- 21 tahun: Perlakukan anak-anak sebagaimana 'teman'. Dan ini memang jelas. Mereka sudah remaja dan menginjak dewasa. Mereka sudah ada buah fikiran dan perlu diraikan. Yakni agar ibu bapa selalu berbincang dengan anak-anak. Anak-anak lebih suka diajak berunding berbanding kuasa Veto atau paksaan.

Mengikut Ibu Wiri, fasa satu merupakan 'golden age'. Ia ternyata sangat penting agar tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Ibu Wiri sedaya upaya akan mengisi fasa istimewa itu dengan strategi yang terbukti berkesan.

Ingatan saya terus terbang kepada Abu Bakar di kampung. Biarpun di rumah kami tiada tv,namun Abu Bakar mampu melakukan aksi-aksi yang ultraman lakukan.

Di manakah anak itu mempelajarinya? Masya-Allah , sungguh aku perlu lebih serius mendidik anak...

No comments:

Post a Comment