Dari KELANTAN: Kisah 3/Februari 2013
Ditulis pada: 11:58am,3/2/2013, CC, Pasir Puteh.
'Tanya Allah'
Mengikut rancangan, pagi ini sepatutnya saya berada di PWTC, Kuala
Lumpur. Namun, setengah jam sebelum bertolak malam tadi, saya mengubah
rancangan. Alhamdulillah, itupun setelah selesai bertanya kepada Allah
(solat istikharah ).
" Maaf encik. Kami tidak boleh tukar tarikh. Jika mahu tukar tarikh perjalanan esok sekalipun, perlu beli tiket baru" tegas suara kerani kaunter.
" Betul encik, semua urusan di Kota Bharu; kami cuma ejen saja" sambung seorang lagi.
"Alahai..., itu semua saya tahu, tidak adakah satu ayat simpati dan bunyi mahu menolong?" bisik saya dalam hati,
"Baiklah. Tolong jualkan tiket ini, saya akan datang semula esok pagi. Insya-Allah" saya segera pendekkan perbualan itu.
Si kerani segera menampal tiket tersebut di cermin.
" Esok encik boleh tanya di sini sama ada tiket ini sudah dijual atau belum"
Saya senyum, mengucapkan terima kasih dan meluru ke kereta. Tidak
banyak yang saya harapkan daripada idea menyuruh jual tiket itu. Pun
begitu , lebih baik mencuba dari tidak.
Pun begitu, di minda saya sudah bersedia yang RM42 itu, saya kira hangus!
Namun, ia lebih baik dari apa yang akan saya hadapi di KL nanti. Yakni
bila terpaksa menghadiri sebuah mesyuarat yang hati saya berat untuk
menghadirinya.
Saya kira, hal-hal begini ramai dari kita yang
mengalaminya. Kadang-kadang sampai sakit kerana memikirkan hal-hal
seperti di bawah...
Mahu memilih yang mana satu...
Mahu buat atau tidak...
Mahu pergi atau tidak...
Mahu terima atau tolak...
Hari ini atau esok...
Mahu buat yang ini atau yang itu...
Dan senarai ini boleh menjadi sangat panjang.
Sebenarnya, saya kira hal ini tidaklah sukar untuk diputuskan, bila
kira yakin tiada siapa yang tahu apakah yang akan berlaku esok hari.
Justeru alangkah baiknya jika ditanyakan terus kepada pemilik hari esok? Yang Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib?
Inilah yang saya maksudkan dengan 'Tanya Allah' Atau bahasa formalnya Solat Istikharah.
" Abang tidak jadi pergi KL?" tanya isteri senyum-senyum.
" Aduhai, nak buat macamana....doa seorang isteri solehah bukankah sangat mustajab...?" jawab saya selamba.
" Sukalah tu..." saya perah lagi 'limau'
Si isteri tidak dapat menahan gelak. Tiba-tiba berderai...
Memang saya melihatnya begitu khusyuk berdoa. Barangkali mohon agar suaminya lewat sedikit berangkat ke KL...
No comments:
Post a Comment