Monday, 18 February 2013

Kisah 15 : Tiga Fasa Pendidikan Anak

Dari KELANTAN: Kisah 15/Februari 2013
Ditulis pada 6:59am, 18/2/2013, Kg Padang Balang, Gombak.

Tajuk: ' Tiga Fasa Pendidikan Anak'

Jam sudah melepasi pukul 10.00 malam ketika saya bangun dan mengajukan pertanyaan.

Pada malam itu, ruang PICC, Putrajaya masih penuh. Ternyata penampilan Ibu Wirianingsih benar-benar memukau. Di sebalik kesibukan aktiviti dakwah beliau, beliau berjaya mendidik kesemua anaknya untuk menjadi penghafaz al-Quran. Saya difahamkan 10 orang.

Beliau merupakan salah seorang penel yang hadir pada 'Seminar Baitul Muslim 2.0 ' anjuran Oneheart Creative Solution'. Saya dikhabarkan seminar itu berlangsung selama dua hari.

Saya bukanlah peserta seminar tersebut, namun direzekikan Allah berada di ruangan itu. Alhamdulillah. Peluang ini saya peroleh, bilamana Master Dealer Kuala Lumpur, menjual buku di atas di sana.

Ibu Wiri dan keluarganya merupakan panel terakhir pada malam itu. Saya berpeluang memasuki ruangan PICC (Putrajaya International Convention Center ) pun sudah agak lewat; yaini selepas Isyak.

Da dek kerana kekangan waktu, beberapa tips yang menarik perhatian saya tidak sempat dikupas. Justeru, ia mengundang minat saya untuk bertanya kepada beliau.

" Assalamualaikum Ibu Wiri yang dirahmati Allah. Saya tertarik dengan 3 fasa pendidikan anak sebagaimana yang dinyatakan tadi. Saya mohon jika ada ruang dan peluang dapatlah dikupas apakah yang dimaksudkan pada masa umur 7 tahun berikutnya. Yang dikatakan kita memperlakukan anak sebagai "tawanan perang"..." tanya saya.

Saya lantas duduk dan bersedia mendengar penjelasan Ibu Wiri dengan penuh minat. Saya teringatkan kepada anak saya, Abu Bakar As-Siddiq yang umurnya kini sudah 3 tahun 1 bulan.

Abu Bakar sudah petah berkata-kata. Sedihnya, Abu Bakar sering ditinggalkan ayahnya berpergian.

"Ayah mahu pergi KL ke?" tanya si anak
" Ayah pergi KL naik bas ke?" sambungnya lagi.
" Ayah pergi KL jual buku ke?" sambung Abu Bakar lagi.
" Tinggal Umi, ayah pergi KL...." ini ayat lazim si anak.

Ibunya pula akan tersenyum dan berkata, " Eh, Abu Bakar pun kena tinggal kan..."

Dialong lucu anak beranak ini, sering saya jadikan peneman rindu di kala berkelana di bumi Allah.

Ibu Wiri menyatakan terdapat 3 fasa pendidikan anak. Saya difahamkan begini:

Fasa pertama kita perlakukan anak bagaikan 'raja'. Iaitu ketika umurnya 1 hari - 7 tahun.

Fasa kedua kita sebagai ibu bapa harus perlakukan anak bagaikan 'tawanan perang' kata beliau. Fasa ini adalah bilamana umur si anak menginjak 7 tahun hingga 14 tahun.

Manakala fasa ketiga, yakni sehingga umur si anak 21 tahun, kita perlakukan mereka sebagai 'teman'.

Kata-kata 'raja', 'tawanan perang' dan 'teman ' inilah yang mengundang minat saya untuk bertanya; kerana ia tidak sempat dikupas.

Lebih menarik lagi bila Ibu Wiri menyatakan bahawa, bagaimana perangai si anak ketika umurnya 1-7 tahun, sebenarnya ia merupakan cermin perangai ibu-bapanya. Aduhai...terus saya teringatkan perangai Si Abu Bakar.

"Si Abu Bakar ini, apabila mahukan sesuatu, mahu semahu-mahunya. Tidak dapat hari ini, esok ditanya lagi...lusa ditanya lagi...sampai hajatnya dipenuhi " begitulah komen si ibu.

Saya selalu tersenyum mendengar dan mengingatkan komentar itu. Kerana sambil berkata, selalunya jelingan si ibu akan terarah kepada saya, ayahnya...

Justeru saya, faham sungguh apa yang dimaksudkan...

Menurut Ibu Wiri, memperlakukan anak bagaikan raja itu bermaksud, memenuhkan jiwanya dengan kasih-sayang. Pada fasa tersebut , umur 1 hari - 7 tahun, merupakan fasa pembentukan karektor si anak.

Pada masa itu, jiwa si anak perlu dikayakan dengan cinta dan kasih sayang; bukan ancaman dan marah-marah...(bersambung )

No comments:

Post a Comment