Thursday, 7 February 2013

Kisah 7 : Semak

Dari KELANTAN: Kisah 7/ Februari 2013
Ditulis pada 12:52pm, 7/2/2013, Kg Gaal, Pasir Puteh.

'Semak'

Jam sudah menunjuk ke angka 9:00 pagi. Usai bersarapan dengan seorang sabahat, saya bergegas menuju kereta yang diparkir di hadapan sebuah masjid.

Kalau ikutkan hati mahu saja rasanya memecut pulang ke rumah. Setelah ditimbang-timbang, saya keluar semula dari kereta dan menuju ke masjid; mengambil wuduk dan solat dhuha.

" Niat yang baik, jika ditangguh-tangguh pun boleh tidak jadi." Bisik hati.

Sampai di rumah, kelihatan sebuah raga berisi dengan kain-kain yang dikeluarkan dari mesin basuh. Menariknya ia kelihatan seperti sengaja di letakkan di tengah laluan. Sejak subuh tadi saya belum pulang ke rumah. Dari surau Bukit Belah, Kelantan terus ke Masjid Gong Kepas, Terengganu.

Jelas, raga itu sengaja di letakkan di tengah rumah oleh si isteri agar suaminya boleh nampak. Bila sudah nampak faham-faham sahajalah.... Si isteri sudah pun bergegas ke sekolah sejak jam 6:45 pagi lagi.

Raga kain saya bawa ke luar rumah. Sang mentari belum terik namun tiada tanda-tandan hujan akan turun. Lalu saya terus menyidai semua kain ada di dalam raga tersebut.

Rumput di halaman rumah sudah dipotong beberapa hari lepas. Namun belakang rumah.....masya-Allah!. Tambahan pula keronsong ular bersalin kulit kelihatan di atas beranda.

Kata-kata si isteri beberapa hari lepas , singgah di ingatan.

" Abang, kalau abang ke KL sebelum semak di belakang rumah itu abang bersihkan, Ani akan balik kampung. Ani takut mahu tinggal di sini. Tengoklah keronsong kulit ular itu bang..." rayu isteri.

Sungguh, beberapa bulan sebelumnya belakang rumah merupakan kawasan yang paling saya suka untuk bersantai-santai. Naungan pohon getah dan rumput yang menghijau sungguh menyenangkan. Tambahan pula ia tersembunyi dari pandangan orang.

Membaca buku sambil ditemani angin petang sungguh nyaman sekali. Itu dulu, kini....ia menjadi semak yang menakutkan!

Aduhai, teringatlah saya kepada sebuah hadis yang menyatakan bahawa Baginda Nabi, beristigfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari; walhal baginda bebas dari sebarang dosa.

Ya, semak dan dosa. Dosa ibarat semak. Ia perlu dibersihkan setiap hari.

"Sungguh, aku perlu beristigfar setiap hari. Demi kebersihan hati dan diri dari dosa. Insya-Allah." Bisik hati.

No comments:

Post a Comment